arena

Kelalaian pemain punca seri

Oleh Aziman Rosdi dan Mohammad Zulfaizan Mansor

JURULATIH futsal lelaki negara, Chiew Chun Yong mengakui kesilapan anak buahnya pada minit akhir menyebabkan Malaysia gagal meraih kemenangan selepas terikat 1-1 dengan Vietnam di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, malam ini.

Beliau bagaimanapun berpuas hati dengan permainan dipamerkan barisan pemain yang berjaya menyekat permainan pantas Vietnam.

“Saya sudah jangka Vietnam akan gunakan sistem ‘power play’ (menukar penjaga gol kepada pemain posisi lain) selepas ketinggalan dan mereka melakukan banyak asakan.

“Pemain saya hilang sedikit fokus pada lima minit terakhir, membolehkan Vietnam menyamakan kedudukan.

“Sasaran memang untuk menang tapi terpaksa berpuas hati dengan satu mata. Namun, ia keputusan yang adil buat kedua-dua pasukan,” katanya selepas perlawanan.

Malaysia mendahului pada minit ke-29 menerusi Mohd Ridzwan Bakri sebelum Pham Duc Hoa menyamakan kedudukan buat Vietnam tiga minit sebelum tamat permainan.

Sementara itu, keputusan seri sukar diterima pengendali Vietnam Miguel Jose Salazar yang menganggap pasukan tuan rumah hanya gemar bertahan.

“Ia perlawanan yang sukar, kami tidak bermain baik pada babak pertama. Saya sedih sebab Malaysia suka membuang bola dan ia menyukarkan kami mengatur permainan.

“Memang dari segi ranking kami lebih baik namun kami tidak menunjukkannya dalam gelanggang,” katanya.

Keputusan seri itu membolehkan Malaysia mendahului kedudukan futsal liga sepusingan dengan mengumpul empat mata selepas mencatat kemenangan 5-4 ke atas Myanmar dalam perlawanan pertama.

Disiarkan pada: August 20, 2017 @ 10:41pm
d