arena

Kaki kiri punca pengadil batalkan servis

Oleh BERNAMA

INDONESIA mengambil pendirian drastik menarik diri daripada meneruskan perlawanan set kedua antara regu sepak takraw wanita menentang Malaysia di Stadium Tertutup Titiwangsa di sini, malam tadi.

Insiden berlaku sebagai tanda bantahan jurulatih Indonesia terhadap keputusan pengadil Singapura, Mohd Radhi Che Mei membatalkan empat servis tekong Indonesia ketika mendahului regu negara itu mendahului Malaysia pada set kedua dengan 16-10.

Tindakan Indonesia itu memberi kemenangan secara pembatalan 2-0 kepada Malaysia selepas pasukan tuan rumah menang set pembukaan dengan keputusan 22-20.

Pengadil membatalkan servis dilakukan Lena kerana dikatakan melakukan kesalahan mengangkat kaki kiri ketika melakukan servis buat kali keempat.

Tindakan itu tidak disenangi jurulatih republik itu, Asry Syam, yang meluru masuk ke dalam gelanggang dan membuat isyarat tangan bagi memberhentikan perlawanan.

Asry juga menarik semua pemainnya ke hujung gelanggang dan mengarahkan semua pemainnya meninggalkan gelanggang.

Asry dan semua pemainnya – Dini Mita Sari, Leni, Florensia Cristy, Lena dan Evana Rahmawati, kemudiannya meninggalkan Stadium Titiwangsa dengan sebuah kenderaan.

Wartawan yang membuat liputan turut gagal mendapatkan reaksi jurulatih itu.

Malaysia dijadual bertemu Thailand esok dalam perlawanan terakhir liga sepusingan yang bakal menentukan pemilik pingat emas.

Malaysia dan Thailand masing-masing menang dua perlawanan sebelum ini.

Indonesia dijadual menentang Filipina pada perlawanan akhir sepusingan untuk pingat gangsa.

Hanya Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina mengambil bahagian dalam pada acara itu.

Disiarkan pada: August 21, 2017 @ 12:00am
d