arena

Lima perenang negara rebut pingat

Oleh BERNAMA

LIMA perenang negara mara ke perlumbaan akhir acara renang Sukan SEA Ke-29 di Pusat Akuatik Nasional hari ini.

Menepati jangkaan Welson Sim menjadi perenang pertama sampai ke garisan penamat dalam saringan kedua acara 400m gaya bebas lelaki dengan catatan masa 3 minit 56.20 saat untuk mara ke final malam ini.

Rakan sepasukannya Yeap Zheng Yan turut melayakkan diri ke final selepas merekod masa 4:03.09s.

Chan Jie akan berentap dengan bintang renang Singapura, Joseph Schooling dalam final 50m kuak kupu-kupu lelaki selepas mencatat masa 24.93s dalam saringan kedua.

Turut layak ke pusingan akhir Tern Jian Han bagi acara 50m kuak lentang lelaki selepas mencatat 26.62s manakala Caroline Chan menjadi perenang terakhir mara ke final acara 100m kuak lentang wanita dengan masa 1:05.89s.

Sementara itu, kuartet wanita negara akan beraksi pada final 4x100m gaya bebas berganti-ganti wanita berikutan hanya enam pasukan yang mengambil bahagian dalam acara itu.

Disiarkan pada: August 21, 2017 @ 12:17pm
d