arena

Idam hatrik emas wushu

Oleh Fabian Peter

SELEPAS cemerlang merangkul dua emas dalam acara Jianshu lelaki dan Qiangshu lelaki, atlet wushu negara Yeap Wai Kin kini menyasarkan ‘hatrik sempurna’ pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di laman sendiri.

Atlet kelahiran Negeri Sembilan itu mengintai peluang untuk menggondol pingat emas ketiganya apabila turun membuat persembahan dalam acara Changquan, petang esok sekali gus mengekalkan rekod bersih dalam semua acara yang disertainya pada temasya kali ini.

“Sudah pasti kali ini akan menjadi temasya terbaik saya seandainya saya dapat meraih satu lagi pingat emas untuk disumbangkan kepada kontinjen negara. Peluang untuk meraih emas ketiga itu memang ada.

“Apapun saya tidak mahu terlalu berfikir mengenainya kerana tidak mahu meletakkan tekanan pada diri saya. Lebih penting adalah saya bersedia sepenuhnya dan memberikan persembahan yang terbaik ketika berada di dalam gelanggang,” katanya ketika ditemui selepas tamat acara Qiangshu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Atlet berusia 24 tahun itu meraih pingat emas menerusi catatan 9.68 mata untuk mengatasi catatan rakan seperguruannya, Wong Weng Son yang mengutip 9.65 mata untuk pingat perak sementara gangsa menjadi milik atlet Indonesia, Muhammad Daffa Golden Boy dengan catatan 9.63 mata.

Dengan dua pingat emas yang dimenangi setakat ini, Wai Kin muncul sebagai atlet wushu paling menyerlah selepas dua hari acara wushu berlangsung.

Mengulas lanjut mengenai kemenangan dua kali mengatasi rakan seperguruannya itu untuk pingat emas, Wai Kin mengakui dia tidak pernah mengganggap Weng Son sebagai ‘musuhnya’.

“Saya tidak pernah menganggap Weng Son kalah kepada saya kerana kami adalah rakan baik dan sama-sama berlatih untuk meningkatkan kualiti persembahan kami.

“Kami juga sering memberi galakan kepada diri masing-masing.

“Weng Son juga beraksi dengan baik dan persembahannya juga berkelas dunia. Bagi saya, ia tiada perbezaan kerana yang mustahak adalah pingat emas dan pingat perak dimenangi oleh atlet Malaysia,” katanya yang terpaksa menahan kesakitan kerana mengalami kecederaan bahu kanan.

Disiarkan pada: August 21, 2017 @ 1:04pm
d