arena

Fokus jumpa Laos

Oleh Ferzalfie Fauzi

PEMAIN perseorangan lelaki negara Lim Chi Wing tidak mahu berasa terlalu yakin walaupun mereka berdepan negara yang kurang dikenali dalam sukan badminton, Laos bagi aksi pembukaan acara berpasukan di Arena Axiata, esok.

Menurutnya, dia percaya Malaysia tidak akan berdepan masalah untuk memenangi aksi itu seterusnya mara ke separuh akhir berdepan antara pemenang Myanmar atau Singapura.

“Apa yang perlu kami lakukan semua memberikan aksi terbaik dan selepas itu barulah kami akan peroleh apa yang dihajati,” katanya yang akan bermain dalam acara berpasukan bersama seorang lagi pemain perseorangan lelaki, Soong Joo Ven.

Chi Wing yang akan beraksi buat kali pertama di Sukan SEA mengakui sudah bersedia dari segi mental dan fizikal, malah rakan sepasukannya juga amat bersemangat selepas membuat persiapan sejak beberapa minggu lalu.

“Saya rasa kami sudah bersedia dan mahu memulakan aksi dengan langkah kanan. Kami juga sudah mencuba gelanggang di Arena Axiata dalam tempoh seminggu jadi kami mengetahui kekuatan angin di sana.

“Setakat ini, kami berpuas hati dengan persediaan gelanggang dan semuanya berada dalam keadaan baik,” kata juara kebangsaan itu.

Dua tahun lalu pasukan lelaki meraih gangsa selepas terkandas di separuh akhir apabila tumpas 2-3 kepada Indonesia dan kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara ini ialah pada 2005 di Manila.

Selain Chi Wing dan Joo Ven pemain yang dijangka beraksi untuk acara berpasukan adalah gandingan beregu lelaki Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Seorang lagi perseorangan lelaki antara Iskandar Zulkarnain dan Lee Zii Jia.

Disiarkan pada: August 21, 2017 @ 1:23pm
d