arena

Garbine nafikan hajat Simona

Oleh AFP

CINCINNATI: Juara Wimbledon, Garbine Muguruza membenam pemain kedua dunia Simona Halep 6-1, 6-0 pada final kejohanan Terbuka Cincinnati WTA hari ini, menafikan pemain Romania itu status sebagai pemain nombor satu dunia.

Pilihan keenam dari Sepanyol itu hanya memerlukan 56 minit untuk merangkul kejuaraan keduanya tahun ini dan pertama di AS, membawa pulang hadiah wang AS$522,450 (RM2.2 juta) pada kejohanan pemanas badan terakhir menjelang Terbuka AS.

“Kejohanan di Amerika tidak pernah menyebelahi saya,” kata Garbine. “Akhirnya tahun ini saya memperbaiki catatan itu.”

Ia menandakan kekalahan ketiga Simona tahun ini ketika dia bermain untuk mengejar ranking utama, turut gagal pada final Terbuka Perancis menentang Jelena Ostapenko dan suku akhir Wimbledon menentang Johanna Konta.

“Mungkin saya berasa tertekan dan saya tidak menyedarinya,” kata Simona. “Mungkin saya bermain dengan teruk.”

Jurulatih Simona, Darren Cahill menyatakan kekalahan pada Terbuka Perancis masih menghantui pemain itu.

Simona memohon maaf kepada penonton selepas kekalahan mengaibkan itu, mengucapkan terima kasih kerana sokongan mereka “sekalipun saya bermain teruk dan Garbine bermain terlalu bagus.”

“Ia sesuatu yang memalukan kalah 1-6, 0-6 pada aksi final,” kata Simona. “Lawan mendominasi saya. Saya tidak boleh mengawal sebarang mata lagi. Itulah sebabnya keyakinan saya merudum.”

Pemain Republik Czech, Karolina Pliskova yang tewas pada separuh akhir di tangan Garbine, akan kekal pemain nombor satu dunia dengan jurang lima mata di depan Simona.

Disiarkan pada: August 21, 2017 @ 2:12pm
d