arena

Kerjasama, semangat penyokong julang skuad negara

Oleh Devinder Singh

KERJASAMA dan semangat saling membantu sesama rakan sepasukan membantu trio negara mempertahankan pingat emas acara recurve berpasukan lelaki yang dimenangi di Singapura, dua tahun lalu.

Selain itu, sokongan daripada penyokong yang bersorak di sekitar padang sintetik Majlis Sukan Negara turut memberi tonik tambahan buat Haziq Kamaruddin, Khairul Anuar Mohamad dan Muhammad Akmal Nor Hasrin untuk memberi persembahan terbaik.

Bagi Olimpian negara Khairul Anuar, kemenangan pingat emas ini turut menebus sebutir kekecewaan dek kegagalannya meraih pingat emas dalam acara individu, semalam.

“Alhamdulillah dapat mempertahankan pingat emas empat kali berturut-turut untuk acara berpasukan. Sebenarnya saya sudah tidak ada perasaan kerana apa yang terjadi semalam.

“Tapi rakan sepasukan banyak membantu saya hari ini dan mereka banyak menasihatkan saya untuk melakukan yang terbaik kerana saya sudah hilang perasaan bertanding sepanjang pertandingan,” katanya.

Semalam, Khairul Anuar terpaksa berpuas hati dengan pingat perak apabila tewas 6-2 kepada pemanah Vietnam Chu Duc Anh dalam aksi final recurve individu gara-gara masalah anak panah.

Sementara itu, Muhammad Akmal yang pertama kali beraksi di Sukan SEA menyifatkan bantuan dan tunjuk ajar daripada jurulatih serta rakan sepasukan membantunya memenangi emas dalam acara terbabit.

Malaysia memenangi dua pingat emas dalam acara recurve berpasukan lelaki dan wanita selepas masing-masing menundukkan lawan di final.

Pemanah recurve berpasukan lelaki yang diwakili Haziq, Khairul Anuar dan Muhammad Akmal mencatatkan keputusan 5-1 untuk menewaskan trio Thailand, Denchai Thepna, Natthapoon Phusawat dan Witthaya Thamwong.

Pasukan wanita digandingi Nur Afisa Abdul Halil, Nur Aliya Ghapar dan Nuramalia Haneesha Mazlan melakar kemenangan 5-1 ke atas trio Indonesia, Diananda Choirunisa, Linda Lestari dan Titik Kusumawardani di final.

Disiarkan pada: August 21, 2017 @ 2:39pm
d