arena

Tuah senapang RM75,000

Oleh Ajitpal Singh

MENGGUNAKAN senapang patah buatan khas berharga RM75,000, Benjamin Khor memenuhi impian bapanya, Edward Khor, untuk melihatnya memenangi pingat emas Sukan SEA kali ini bagi acara menembak ‘double trap’ di Lapang Sasar Subang, hari ini.

Benjamin dan rakan senegara, Abraham Eng, 15, bersaing sengit untuk pingat emas namun Benjamin berjaya mencatat 71 daripada 80 sasaran manakala Abraham yang mengalirkan air mata selepas pertandingan hanya berjaya menjatuhkan 66 sasaran.

Peserta Thailand, Sirawit Temmart, meraih gangsa dengan 44 sasaran.

Ia menjadi saat paling gembira kepada Benjamin kerana dapat memenuhi impian bapanya yang menonton pertandingan itu dan dia mendedikasikan kemenangannya bukan saja kepada bapanya, juga kepada jurulatih yang menjadi sumber semangat dan inspirasi.

Edward, bekas penembak kebangsaan memberikan yang terbaik kepada anaknya, sama ada peralatan atau kemudahan latihan sejak tiga tahun lalu.

“Benjamin menggunakan senapang patah terbaik hari ini, jenama ‘Perazzi’ yang dianggap ‘kereta F1’ untuk menembak,” kata Edward yang memenangi gangsa acara berpasukan ‘double trap’ bersama Benjamin pada Sukan Komanwel 2010 New Delhi.

‘Saya menempahnya di Itali yang ukurannya khas untuk Benjamin. Anak saya mencapai impiannya hari ini.

“Doa saya terjawab hari ini, dia mencapai sesuatu yang saya gagal sebelum ini - pada 2001 (Kuala Lumpur), 2005 (Manila) dan 2007 (Korat).

“Pingat Sukan SEA saya hanya gangsa pada 2005,” katanya.

Beliau menghantar Benjamin belajar di England dan berlatih dengan penembak bertaraf dunia, juara Olimpik Sydney 2000, Richard Faulds.

Abraham yang menjuarai acara ‘double trap’ Kejohanan Asia Tenggara April lalu, tidak dapat menahan air matanya ketika ditemuramah

“Saya berpeluang cerah menang pingat emas selepas mendahului. Namun tidak mengapa, saya berazam menjadi juara dunia satu hari nanti.

“Saya agak gementar, takut bercampur gembira hari ini. Banyak perkara dalam fikiran. Mungkin hari ini bukan milik saya, banyak lagi peluang pada masa depan,” kata anak Johor itu.

Disiarkan pada: August 21, 2017 @ 5:14pm
d