arena

Irfan taruhan skuad olahraga

Oleh Aida Adilah Mat

BIARPUN mengalami kecederaan minggu lalu, ia tidak menjadi penghalang buat atlet lempar cakera negara Muhammad Irfan Shamsuddin untuk mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).

Irfan menjadi pertaruhan terbaik skuad olahraga untuk merangkul emas pertama apabila turun beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil pada jam 3 petang esok.

Ketua jurulatih negara Zainal Abas berkata, Irfan sudah kembali menjalani latihan semalam dan keadaan dia semakin baik.

“Dia sudah cuba membuat latihan semalam dan kelihatan OK.

“Saya harap dia dapat beraksi dengan baik dan boleh menyumbangkan emas buat negara,” katanya.

Irfan mengalami kecederaan minggu lalu sehingga menyebabkan dia terpaksa menarik diri sebagai pembawa obor ketika majlis perasmian KL2017.

Berdasarkan prestasinya tahun ini, kejayaan memecahkan rekod Asia Tenggara dengan catatan 62.55 meter mengukuhkan lagi peluangnya mencipta hatrik emas di temasya dwitahunan itu.

Dua tahun lalu, Irfan antara tiga atlet negara yang menyumbangkan emas di Sukan SEA Singapura bersama Nauraj Singh Randhawa (lompat tinggi) dan Hakimi Ismail (lompat kijang).

Disiarkan pada: August 21, 2017 @ 6:57pm
d