arena

Adli bangkit layak separuh akhir

Oleh Fardy Bungga

HARAPAN pingat bagi acara tinju Light Heavy 81 kilogram semakin cerah selepas petinju negara Adli Hafidz Mohd Pauzi layak ke peringkat separuh akhir esok, menewaskan pesaing dari Vietnam, Vo Van Que hari ini.

“Bagi perlawanan esok menentang petinju Singapura, saya berazam berjuang habis-habisan dan mengharapkan seluruh rakyat Malaysia mendoakan kejayaan saya serta pasukan.

“Saya pernah menentangnya sebelum ini dan menang ” katanya.

Adli bangkit mempamerkan aksi cemerlang pada pusingan kedua hari ini, selepas tewas di pusingan pertama apabila lawannya banyak melakukan serangan pantas dan tepat.

Menurut Adli, pada pusingan pertama dia gagal menyerap tekanan dan terlalu berkira-kira untuk melepaskan tumbukan.

Namun katanya, kata-kata perangsang jurulatih ketika rehat menjadikannya lebih bersemangat.

“Dalam pusingan kedua, saya mula mengawalnya dengan membiarkan lawan melepaskan tumbukan sebelum melakukan serangan balas,” katanya.

Pencapaian terbaik skuad tinju negara di Sukan SEA ialah dua emas di Laos pada 2009 menerusi Muhamad Farkhan Mohd Haron (75kg) dan Muhd Fairus Azwa (81kg).

Sementara itu, Muhammad Farkhan yang juga Juara World Boxing Council (WBC) Asia 2016 turut hadir memberi sokongan.

“Sudah tiba masanya petinju negara kembali mengutip pingat emas selepas lapan tahun gagal.

“Mereka perlu sentiasa berhati-hati tidak terlalu yakin dan menumpukan sepenuh perhatian ketika perlawanan.

“Saya lihat Adli terlalu ghairah dan terlalu yakin pada pusingan pertama.

“Semua petinju negara perlu gunakan peluang sebagai tuan rumah untuk menjadi kuasa besar dalam sukan ini,”katanya.

Disiarkan pada: August 21, 2017 @ 8:07pm
d