arena

Sterling tutup aib City

Oleh AFP

MANCHESTER, England: Raheem Sterling tampil dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-82 ketika Manchester City yang beraksi 10 pemain terpaksa akur seri 1-1 menentang Everton pada perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris di laman sendiri musim ini, awal pagi tadi.

Wayne Rooney meletakkan Everton di depan dengan gol Liga Perdana ke-200 sebelum pemain City, Kyle Walker secara kontroversi dilayangkan kad kuning kedua berikutan perlanggaran dengan Dominic Calvert-Lewin.

Sterling, yang masuk selepas rehat, meledak gol menerusi rembatan kencang pada lewat perlawanan dan Everton turut berakhir dengan 10 pemain selepas Morgan Schneiderlin juga diberikan kad kuning kedua yang boleh dipersoalkan.

“Saya berpuas hati dengan mereka, tapi kami hilang dua mata,” kata pengurus City, Pep Guardiola.

“Kami hadir ke sini untuk menang. Akhirnya, kami terpaksa menganalisis persembahan. Sepuluh lawan 11, pasukan Liga Europa. Kami cuba. Kami terlepas beberapa peluang akhirnya. Sekalipun kami menjaringkan gol, kami tidak mampu menang.”

Guardiola enggan menjawab soalan mengenai insiden Walker dibuang padang.

City meneruskan rekod tidak pernah tewas perlawanan pertama Liga Perdana di gelanggang sendiri namun kesudahannya Manchester United, Huddersfield Town dan West Bromwich Albion kini memegang rekod 100 peratus dalam liga.

Ketika Guardiola gagal membalas dendam kekalahan dibelasah 0-4 oleh bekas rakan sepasukan Barcelona, Ronald Koeman pada pertembungan Januari lalu di Goodison Park, ada nada positif dengan reaksi pasukannya pada babak kedua.

Bagi Koeman, yang memberikan penampilan sulung buat pemain termahal kelab Gylfi Sigurdsson yang dibeli dengan harga £45 juta (RM249 juta), ia petanda pasukannya mampu menjadi pencabar sebenar merebut tempat ke Liga Juara-Juara.

“Mereka tidak banyak mencipta peluang terbuka,” ujar pengurus Everton itu.

“Mereka menguasai perlawanan dan serangan balas pantas. Kami mempunyai beberapa peluang baik.”

Disiarkan pada: August 22, 2017 @ 7:29am
d