arena

Brighton sambar Dwamena

Oleh AFP

LONDON: Penyerang kebangsaan Ghana, Raphael Dwamena akan menyertai kelab pendatang baru Liga Perdana Inggeris, Brighton & Hove Albion dari kelab Switzerland, FC Zurich, umum kelab Inggeris itu semalam.

Pemain berusia 21 tahun itu, yang bernilai £8 juta (RM44 juta) sekalipun Brighton tidak mendedahkan yuran perpindahan - meninggalkan Switzerland selepas hanya lapan bulan di FC Zurich yang mana dia menyerlah apabila menjaringkan 12 gol musim lalu ketika membantu mereka kembali ke liga utama Switzerland.

Dwamena turut menyumbat dua gol setakat ini musim ini dalam Liga Super Switzerland selain meledak dua gol dalam tiga penampilan antarabangsa.

Brighton bermula teruk pada musim sulung dalam Liga Perdana, kecundang kedua-dua perlawanan mereka 0-2 setakat ini dan berharap Dwamena boleh menyuntik sengat di bahagian serangan.

“Brighton & Hove Albion mengesahkan kelab sudah bersetuju dengan FC Zurich bagi perpindahan tetap pemain kebangsaan Ghana, Raphael Dwamena, bergantung kepada permit kerja dan sijil pelepasan antarabangsa,” menurut satu kenyataan Brighton.

“Penyerang berusia 21 tahun itu turut bersetuju dengan terma peribadi bersama kelab dan kini menanti pelepasan untuk berkunjung ke UK bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.”

Disiarkan pada: August 22, 2017 @ 7:49am
d