arena

Ranjau V Shem-Wee Kiong

Oleh Helmi Talkah

GLASGOW, Scotland: Jurulatih beregu lelaki negara, Jeremy Gan meramalkan anak didiknya, Goh V Shem-Tan Wee Kiong berdepan kesukaran apabila turun beraksi pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia di Arena Emirates di sini, esok.

Mendapat bye pada pusingan pertama, aksi esok menentang pasangan Korea Selatan, Chung Eui Seok-Kim Duk Yong adalah yang pertama buat V Shem-Wee Kiong selepas tidak beraksi dalam sebarang kejohanan kompetitif selama dua bulan.

Kejohanan terakhir pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu adalah Terbuka Australia, Jun lalu yang menyaksikan mereka terus bergelut dengan aksi tidak menentu apabila tersingkir pada pusingan pertama.

Jeremy berkata, perlawanan pertama adalah paling penting dan mampu menjadi penentu sejauh kedua-dua pemain itu melangkah kali ini.

“Memang ia akan menjadi perlawanan yang sukar buat mereka kerana sudah dua bulan tidak beraksi dalam kejohanan selain lawan beraksi di pusingan pertama. Perlawanan pertama sangat penting.

“Jadi saya mahu mereka membuat persiapan untuk berdepan situasi yang paling sukar,” kata Jeremy.

Dengan aksi tidak menentu sepanjang tahun ini, Jeremy menegaskan V Shem-Wee Kiong perlu membuktikan mereka mempunyai keserasian dan hati yang sama bagi mencorakkan permainan di tengah gelanggang.

“Apa yang penting mereka perlu ada hati yang sama kerana hanya dengan itu mereka boleh keluarkan permainan sebenar. Apa yang mereka mahu, mereka kena buktikan di tengah gelanggang.

“Saya tidak mahu mereka terbawa-bawa dengan kejayaan atau kegagalan sebelum ini, mereka perlu lupakan semua itu. Kejohanan semakin banyak dan kualiti permainan semua beregu semakin meningkat. Jadi mereka juga perlu sentiasa meningkatkan prestasi,” ujarnya.

V Shem-Wee Kiong masih gagal menjuarai sebarang kejohanan sejak menjuarai Siri Super Akhir di Dubai, Disember lalu.

Disiarkan pada: August 22, 2017 @ 9:54am
d