arena

Skuad terkuat sedia cabar Myanmar

Oleh Fabian Peter

Kuala Lumpur: Malaysia dijangka menurunkan barisan wanita terkuat untuk aksi pembukaan menentang Myanmar dalam acara badminton Sukan SEA 2017.

Mereka berharap langkah itu akan mempersiapkan pemain terbaik mereka menjelang aksi separuh akhir di mana mereka dijangka menentang Indonesia esok.

Indonesia yang mendapat bye layak ke peringkat separuh akhir.

Ketua jurulatih perseorangan wanita Tey Seu Bock, tidak mahu mengambil risiko bereksperimen dengan pasukan lebih lemah sebaliknya berhajat menang besar.

“Di atas kertas nampak mudah dan semua orang mahu melihat pemain remaja beraksi tetapi kami perlu bersedia untuk perlawanan berikutnya dan saya enggan mengambil risiko,” kata Seu Bock.

“Kami memutuskan untuk menurunkan skuad terkuat, kerana kami hampir pasti akan menentang Indonesia selepas ini. Saya mahu pemain bersedia.

“Stadium (Axiata Arena) masih baru dan selepas mengujinya saya rasa pemain perlu sesuaikan diri dengan pantas.”

Berdasarkan ranking Soniia Cheah akan diturunkan sebagai perseorangan pertama diikuti Goh Jin Wei dan Lee Ying Ying.

Bagi acara beregu juara Terbuka New Zealand Vivian Hoo -Woon Khe Wei akan beraksi terlebih dahulu diikuti Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean.

Mengenai peluang Malaysia layak ke final Seu Bock berkata: “Saya rasa lebih baik kami selesaikan satu persatu. Berdepan Indonesia saya fikir kami mempunyai peluang 50-50 untuk menewaskan mereka.

Pada edisi sebelumnya di Singapura dua tahun lalu, Malaysia meraih pingat perak selepas tewas 0-3 kepada Thailand pada perlawanan akhir.

Disiarkan pada: August 22, 2017 @ 10:21am
d