arena

Fokus lawan Singapura

Oleh Ferzalfie Fauzi

SELEPAS berjaya menjinakkan Laos 3-0 dalam aksi pembukaan badminton berpasukan lelaki, rata-rata pemain negara yang turun beraksi semalam, lebih menumpukan kepada ancaman Singapura untuk saingan separuh akhir hari ini.

Menurut pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, selain cuba untuk menyesuaikan dengan keadaan gelanggang berangin, mereka juga mahu memberi fokus sepenuhnya menentang Singapura untuk slot perlawanan akhir.

“Kita kena berhati-hati menentang Singapura,” kata Iskandar yang menghadiahkan mata sulung negara selepas mengalahkan Vixunnalath Phichith 21-7, 21-10 di Axiata Arena.

Jelasnya, dalam aksi semalam dia tetap berhati-hati walaupun berdepan pemain tidak ternama.

“Saya harap perlawanan dengan dengan Laos ini dapat membantu menyiapkan diri berdepan Singapura di separuh akhir esok,” katanya yang dijangka berdepan Ryan Ng, perseorangan utama Singapura.

Mata kedua negara semalam dihadiahkan gandingan beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang menumpaskan Namboun Luangamath-Sengrthit Sypaseuth 21-9, 21-5.

Mata kemenangan disumbangkan pemain perseorangan lelaki, Soong Joo Ven yang menumpaskan Xaysomphone Vongpachith 21-10, 21-9.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, mengakui aksi separuh akhir kedua-dua pasukan lelaki dan wanita bakal berlangsung sengit.

“Aksi separuh akhir esok sangat sukar untuk kedua-dua pasukan lelaki dan wanita kerana perlu berdepan lawan kuat. Sudah pasti persediaan mental sangat penting untuk kita.

“Skuad lelaki akan bertemu Singapura manakala pasukan wanita menentang Indonesia, jadi kita tidak boleh terlalu yakin tempat ke final sudah terjamin,” tegas Norza.

Singapura mara ke perlawanan separuh akhir selepas menundukkan Myanmar 3-1. Satu lagi perlawanan separuh akhir ialah Indonesia menentang Thailand.

Disiarkan pada: August 22, 2017 @ 6:41pm
d