arena

Satu emas, satu perak, satu gangsa di Langkawi

Oleh BERNAMA

MALAYSIA mengulangi kejayaan Sukan SEA Singapura apabila memenangi pingat emas kategori Optimist Berpasukan acara perahu layar yang diadakan di Langkawi, hari ini.

Kemenangan diperoleh barisan pelayar muda Israr Hazim Ismail, Muhammad Syafie Ali, Muhammad Fauzi Kaman Shah, Nor Nabila Natasha Mohd Nazri dan Nurul Shazwanie Mohd Saad, menewaskan pasukan Thailand 2-1.

Kejayaan ini sedikit mengubati kedukaan pasukan negara yang terlepas peluang meraih emas kategori Laser Standard Berpasukan dan Laser Radial Berpasukan.

Dalam kategori Laser Standard Berpasukan, Malaysia terpaksa berpuas hati dengan kedudukan pingat perak selepas tewas kepada Singapura 0-2 dalam pertandingan akhir, manakala pingat gangsa dimenangi Thailand.

Perjuangan pasukan Malaysia dalam Laser Radial Berpasukan berakhir semalam dengan memperolehi pingat gangsa setelah tewas kepada Thailand dan Singapura di peringkat round robin. Thailand menewaskan Singapura 2-0 dalam saingan mendapatkan pingat emas untuk kategori itu.

Selain kategori berpasukan ini, 11 lagi pingat emas masih dalam buruan acara pelayaran yang akan berlangsung sehingga 29 Ogos.

Disiarkan pada: August 22, 2017 @ 7:47pm
d