arena

Napoli, Sevilla, Celtic lepasi play-off

Oleh AFP

PARIS: Gol sumbangan Jose Callejon membantu Napoli layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara awal pagi tadi manakala Sevilla turut mara dan Celtic mengalami saat cemas di Kazakhstan sebelum memenangi aksi play-off mereka.

Ketiga dalam Serie A musim lalu, Napoli terlalu kuat buat Nice, menang 2-0 di Perancis dengan Callejon dan Lorenzo Insigne kedua-duanya menyumbat gol sekali gus mara 4-0 secara agregat.

Ditewaskan oleh juara Real Madrid pada pusingan 16 terakhir musim lalu, anak buah Maurizio Sarri mendahului apabila Marek Hamsik melorongkan bola leret dari kiri kepada Callejon untuk disempurnakan pada minit ke-48.

Percubaan bahaya Dries Mertens kemudian terkena palang selepas Insigne memastikan kemenangan kelab Itali itu seminit sebelum tamat.

“Napoli perlu terus bermain dalam Liga Juara-Juara setiap musim kerana itulah tempat kami sepatutnya. Kami gembira dengan kemaraan ini,” kata Insigne.

Sevilla, yang memenangi Liga Europa tiga musim berturut-turut sebelum tumpas kepada Leicester City pada pusingan 16 Liga Juara-Juara musim lalu, terselamat daripada saat cemas menentang Istanbul Basaksehir sebelum layak.

Kelab Sepanyol itu, menang 2-1 pada aksi pertama di Turki, seri 2-2 di Sanchez Pizjuan untuk mara 4-3 secara agregat.

Mereka ketinggalan menerusi gol Eljero Elia namun Sergio Escudero menanduk masuk hantaran lintang Jesus Navas pada awal babak kedua buat tuan rumah.

Nolito kemudian mengumpan kepada Wissam Ben Yedder untuk membantu mereka mendahului namun Edin Visca menyamakan kedudukan sekali lagi dan sepakan percuma Emre Belozoglu terkena palang pada minit terakhir ketika Sevilla hampir di ambang tersingkir menerusi peraturan gol di gelanggang lawan.

Celtic layak 8-4 secara agregat sekalipun tewas 3-4 kepada Astana pada aksi kedua play-off di Kazakhstan ketika asakan bertali arus pada babak kedua memberikan tuan rumah sekelumit harapan untuk melakar kebangkitan menakjubkan.

Disiarkan pada: August 23, 2017 @ 7:33am
d