arena

Bangga rai gangsa

Oleh Mohd Khairie Khalid

PENAMPILAN sulung Ziyad Zolkefli pada temasya dwitahunan bersama atlet normal cukup manis dan bermakna apabila dia menghadiahkan pingat gangsa dalam acara lontar peluru pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, malam tadi.

Keputusan itu cukup membanggakan buat juara dunia sukan para itu apabila terus tampil dengan aksi konsisten sejak memenangi emas Sukan Paralimpik Rio 2016.

Ziyad yang mendapat sorakan dan tepukan gemuruh daripada ribuan penonton di Stadium Nasional, Bukit Jalil sentiasa tampil bersemangat ketika melakukan setiap lontaran.

Semangat juang yang ditunjukkan Ziyad menyaksikan dia memenangi gangsa dengan catatan 17.12 meter pada lontaran kedua sementara emas dan perak disapu atlet dari Thailand, Promrob Juntima (17.42m) dan Thawat Khachin (17.15m).

Lebih istmewa buat Ziyad apabila isterinya yang masih dalam pantang, Zafirah Md Nasir dan anak Zuhairah Zafra, 22 hari, turut menyaksikan dia mencipta kejayaan bersejarah itu.

“Alhamdulillah, ini adalah sejarah buat atlet para yang memenangi gangsa di Sukan SEA. Saya sudah mencuba yang terbaik dan 17.12m sudah cukup buat saya.

“Ini hadiah untuk keluarga, isteri dan anak yang baru berusia 22 hari untuk memberikan sokongan padu,” kata Ziyad.

Disiarkan pada: August 23, 2017 @ 7:42am
d