arena

Bristol calar ego Watford

Oleh AFP

LONDON: Watford mengalami kekalahan mengaibkan dalam Piala Liga Inggeris apabila kelab Liga Kejuaraan, Bristol City menewaskan kelab Liga Perdana itu 3-2 pada pusingan kedua awal pagi tadi.

Pasukan kendalian Marco Silva itu mendahului apabila Etienne Capoue menanduk masuk hantaran silang Will Hughes pada minit ke-47, namun Freddy Hinds menyamakan kedudukan dari jarak 30 ela 12 minit kemudian.

Bobby Reid kemudian membantu City mendahului pada minit ke-67 dan Watford berdepan masalah lebih besar apabila Jose Holebas dibuang padang pada minit ke-88 kerana layangan kad kuning kedua.

Niclas Eliasson menjadi pemusnah dengan gol ketiga City pada masa kecederaan sebelum Adrian Mariappa membalas satu gol yang tidak bermakna lagi buat Watford.

Penolong pengurus Bristol City, Dean Holden berkata: “Kami mempunyai saingan kuat merebut tempat dan kami mencabar pemain mengambil peluang mereka. Mereka melakukannya.”

Frank de Boer meraih kemenangan pertama sebagai pengurus Crystal Palace apabila dua gol James McArthur membantu kemenangan 2-1 ke atas kelab divisyen dua Ipswich Town di Selhurst Park.

Selepas tidak meledak sebarang gol ketika kalah di tangan Huddersfield Town dan Liverpool dalam Liga Perdana, gol pertama Palace di bawah kendalian De Boer akhirnya hadir apabila McArthur merembat masuk pada minit ke-76.

Pemain tengah Scotland, McArthur sekali lagi meledak lapan minit kemudian dan gol Bersant Celina pada minit ke-90 buat Ipswich tidak dapat menghalang De Boer pulang gembira akhirnya.

“Anda sering menanti saat itu (gol pertama), jadi saya amat gembira dengan penyokong,” kata De Boer.

“Ramai pemain membuktikan mereka bersedia, jadi kerana semangat itu saya berpuas hati.”

Disiarkan pada: August 23, 2017 @ 9:28am
d