arena

Ronaldo luah perasaan

Oleh AFP

MADRID: Cristiano Ronaldo mengulangi kemarahannya mengenai apa yang dianggapnya sebagai “keputusan yang tidak boleh difahami” menolak rayuan terakhirnya terhadap penggantungan lima perlawanan, semalam.

Mahkamah pentadbiran sukan Sepanyol (TAD) menolak rayuan terbaru Real Madrid terhadap penggantungan Pemain Terbaik Dunia itu kerana menolak pengadil selepas dibuang padang pada aksi pertama Piala Super Sepanyol menentang Barcelona.

“Satu lagi keputusan yang saya tidak faham,” tulis Ronaldo dalam akaun Twitter yang mempunyai lebih 57 juta pengikut.

“Ketidakadilan tidak akan menjejaskan saya. Saya akan bangkit lebih kuat lagi.

“Terima kasih kepada yang menyokong saya.”

Ronaldo secara kontroversi dilayangkan kad kuning kedua kerana sengaja menjatuhkan badan selepas hadir dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol ketika Real menang aksi pertama Piala Super Sepanyol 3-1 di Barcelona.

Kapten Portugal itu digantung satu perlawanan berikutan kad merah ke-10 kariernya dan empat perlawanan lagi kerana menolak pengadil Ricardo de Burgos Bengoetxea ketika membantah keputusan itu.

Ronaldo mengecam layanan Persekutuan Bolasepak Sepanyol sebagai satu “penganiayaan” dalam akaun Instagram selepas rayuan pertamanya ditolak minggu lalu.

Ronaldo sudah menjalani penggantungan dua perlawanan selepas Madrid melengkapkan kemenangan agregat 5-1 ke atas Barcelona pada aksi kedua Piala Super dan ketika Real membuka kempen La Liga dengan kemenangan 3-0 di Deportivo la Coruna.

Real juga akan tampil tanpa penjaring gol terbanyak sepanjang zaman itu bagi aksi La Liga di laman sendiri menentang Valencia dan Levante serta Real Sociedad di gelanggang lawan.

Disiarkan pada: August 23, 2017 @ 9:44am
d