arena

'Saya OK dengan Coutinho'

Oleh AFP

LONDON: Pengurus Liverpool, Juergen Klopp menyatakan Philippe Coutinho akan diterima semula dalam skuad kerana hasrat pemain Brazil itu untuk berpindah ke Barcelona tidak menjejaskan hubungan mereka.

Coutinho memohon berpindah awal bulan ini dalam usaha meyakinkan Liverpool untuk menjualnya kepada Barca, yang ditolak tiga tawaran awal terhadap penyerang itu.

Bidaan terakhir dilaporkan bernilai £118 juta (RM647 juta) namun Liverpool bertegas dengan keputusan mereka tidak menjual pemain berusia 25 tahun itu ketika pasaran perpindahan semasa, yang berakhir hujung bulan ini.

Ketika Barcelona dilaporkan bersedia mengaku kalah buat masa ini, Coutinho mungkin terpaksa meneruskan karier di Anfield sekurang-kurangnya dalam tempoh singkat.

Kecederaan belakang dan kurang sihat menyebabkan Coutinho diketepikan ketika ini namun Klopp menegaskan apabila dia cergas untuk kembali, tiada sebarang usaha untuk membekukannya sebagai hukuman.

“Sudah tentu, semuanya OK antara saya dan dia. Sudah tentu. 100 peratus,” kata Klopp semalam.

Coutinho masih belum beraksi musim ini kerana kecederaan belakang dialami ketika pramusim dan sekali lagi diketepikan apabila Reds menentang Hoffenheim pada aksi kedua play-off Liga Juara-Juara di Anfield, awal pagi esok.

“Dia tidak boleh bermula esok kerana dia masih kurang sihat,” kata Klopp.

“Ia akan mengambil masa kerana dia sudah tidak berlatih dalam tempoh lama. Saya tidak tahu ketika ini (bila dia akan kembali), kami akan memastikannya apabila dia kembali nanti.”

Disiarkan pada: August 23, 2017 @ 10:27am
d