arena

Neymar 'hutang' Barca

Oleh AFP

BARCELONA: Barcelona akan meminta pampasan sekurang-kurangnya 8.5 juta euro (RM42.7 juta) daripada Neymar kerana melanggar kontrak, menurut kelab itu semalam selepas pemain itu berpindah dengan rekod dunia 222 juta euro (RM1.1 bilion) ke Paris Saint-Germain.

Tindakan itu hadir selepas Barcelona enggan membayar bonus berasingan 26 juta euro (RM131 juta) kepada Neymar kerana menandatangani kontrak sambungan selama lima tahun pada 2016.

“Dalam tuntutan mahkamah itu, kelab meminta pemain mengembalikan bayaran yang sudah dibayar berikutan sambungan kontraknya kerana dia belum melunaskan kontraknya; 8.5 juta euro sebagai ganti rugi; dan tambahan 10 peratus kerana gagal membayar tepat pada masanya,” menurut Barcelona dalam satu kenyataan.

Keluarga Neymar mengecam tindakan itu semalam dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh firma yang mewakilinya.

“Berita ini mengejutkan memandangkan pemain itu menghormati kontrak ketika itu,” menurut NN Consultoria.

“Bagi bonus tertunggak kerana menandatangani kontrak pada 2016, seperti disyaratkan dalam kontrak dan tidak dibayar oleh FC Barcelona... (Neymar) sudah memulakan prosiding biasa untuk mendapatkan semula wang itu daripada mahkamah berkaitan.”

Di sebalik mempunyai kontrak, Barcelona gagal menyekat perpindahan Neymar ke PSG awal bulan ini apabila kelab Perancis itu membayar klausa tebus kontraknya.

Barca menegaskan permintaan itu sudah dibuat kepada Neymar pada 11 Ogos lalu kepada mahkamah pekerjaan Barcelona, lapan hari selepas perpindahannya ke Ligue 1.

Malah Barca menggesa PSG untuk membayar wang yang diminta mereka jika Neymar - yang dilaporkan menerima 30 juta euro (RM151 juta) setahun selepas cukai bagi lima tahun akan datang di Paris - tidak memenuhi tuntutan mereka.

Disiarkan pada: August 23, 2017 @ 10:54am
d