arena

Malaysia, Thailand rebut emas

Oleh Ferzalfie Fauzi

SKUAD badminton berpasukan wanita mara ke perlawanan akhir Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas mengalahkan Indonesia 3-0 pada separuh akhir di Arena Axiata, hari ini.

Mata pertama negara disumbang pemain perseorangan Soniia Cheah yang menumpaskan Fitriani 21-17, 21-17 seterusnya membantu Malaysia mendahului 1-0.

Gandingan beregu Vivian Hoo-Woon Khe Wei pula tidak perlu berpeluh untuk menghadiahkan mata kedua negara apabila menang ketika mendahului 7-5 selepas pasangan Indonesia, Ni Ketut Mahadewi Istarani-Rosyita Eka Putri Sari mengalami kecederaan.

Goh Jin Wei mengesahkan kemaraan pasukan negara apabila berjaya menumpaskan Hanna Ramadini 21-16, 21-13.

Menanti Malaysia di perlawanan akhir esok juara bertahan Thailand yang berjaya membenam Singapura 3-0 pada satu lagi aksi separuh akhir.

Disiarkan pada: August 23, 2017 @ 11:54am
d