arena

United buru kemenangan hatrik

Oleh Reuters

MANCHESTER, England: Masih segar daripada kemenangan 4-0 berturut-turut, Manchester United menyasarkan untuk mencatat kemenangan hatrik apabila mereka berdepan juara 2015, Leicester City di Old Trafford, Sabtu ini.

Anak buah Jose Mourinho dilihat pasukan paling menakjubkan bagi mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris setakat ini dengan pemain baru Romelu Lukaku mengumpul tiga gol dalam dua perlawanan pertama.

Leicester bagaimanapun turut memberikan keyakinan kepada penyokong mereka dengan kemenangan 2-0 ke atas kelab pendatang baru Brighton sesudah tewas 3-4 di Arsenal pada perlawanan pembukaan liga.

Jika United memerlukan sebarang peringatan daripada ancaman yang boleh diberikan pasukan kendalian Craig Shakespeare menerusi serangan balas pantas, City mendahului 3-1 di Emirates sebelum kebangkitan lewat Arsenal.

Persembahan terkini dan rekod pertembungan menyaksikan United mempunyai kelebihan - mereka menang 4-1 di Old Trafford musim lalu dan kemudian menang 3-0 di Stadium King Power.

Chelsea bangkit daripada kejutan tewas pada hari pembukaan di tangan Burnley dengan kemenangan ke atas musuh London, Tottenham Hotspur di Wembley hujung minggu lalu namun berdepan satu lagi ujian getir menentang Everton, Ahad ini.

Everton kendalian Ronald Koeman menyerlah ketika seri 1-1 di Manchester City Isnin lalu dengan Wayne Rooney menjaringkan gol kedua dalam dua perlawanan.

Pemain tengah Sepanyol, Cesc Fabregas boleh diturunkan selepas menjalani penggantungan namun kapten Gary Cahill masih digantung selepas menerima kad merah pada hari pembukaan.

Everton hadir tanpa pemain tengah Perancis, Morgan Schneiderlin, yang dibuang padang di Etihad Isnin lalu dan turut berdepan jadual padat apabila mereka berkunjung ke Croatia Khamis ini bagi aksi kedua Liga Europa menentang Hajduk Split.

Liverpool, yang layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara awal pagi tadi menerusi kemenangan ke atas Hoffenheim, berdepan ujian terbesar mereka dalam Liga Perdana setakat ini musim ini apabila menanti kunjungan Arsenal di Anfield.

Stadium Wembley menjadi ulangan final Piala FA 1962 apabila ‘tuan rumah’ Spurs menunggu Burnley cuba bangkit selepas kalah kepada Chelsea minggu lalu.

Kelab pendatang baru Huddersfield Town cuba mempertahankan rekod 100 peratus apabila mereka berdepan Southampton di laman sendiri.

Disiarkan pada: August 24, 2017 @ 10:55am
d