arena

Harap Neymar robek kubu Saint-Etienne

Oleh AFP

PARIS: Paris Saint-Germain dan bintang Brazil, Neymar berdepan “ujian besar pertama” mereka musim ini apabila menentang Saint-Etienne di laman sendiri awal pagi Sabtu ini ketika kedua-dua pasukan memburu kemenangan keempat berturut-turut.

Neymar menyerlah dalam penampilan sulungnya di Parc des Princes hujung minggu lalu, menjaringkan dua gol apabila dia mengucar-ngacirkan benteng Toulouse ketika menang besar 6-2, namun Saint-Etienne satu-satunya pasukan yang belum dibolosi musim ini.

Bekas pemain tengah Barcelona, Oscar Garcia semakin teruja selepas menggantikan Christophe Galtier sebagai jurulatih Saint-Etienne Jun lalu, dengan pasukannya meraih mata maksimum untuk berada di tangga teratas di samping PSG dan juara bertahan AS Monaco.

“Ia ujian besar pertama kami menentang Saint-Etienne,” kata jurulatih PSG, Unai Emery. “Mereka sudah mempamerkan beberapa persembahan baik dan meraih sembilan mata.”

Saint-Etienne seri pada minit-minit akhir ketika kunjungan terakhir mereka ke Paris dan kapten Loic Perrin berkata, mereka tidak perlu takut kepada sesiapa hujung minggu ini.

“Kami bertuah memulakan musim dengan baik. Kami hadir ke Paris tanpa sebarang tekanan. Apabila anda melihat skuad mereka, ia satu dunia lain,” kata Perrin, menambah mereka tiada sebarang perancangan untuk mengekang Neymar.

“Neymar seorang pemain luar biasa dan antara tiga pemain terbaik dunia dan menarik untuk menguji diri anda menentang pemain sebegitu.

“Ia semakin sukar dan sukar apabila anda menentang Paris dan ia sama bagi semua. Anda perlu percaya anda boleh melakar kejutan dan apa saja boleh berlaku dalam perlawanan jika banyak perkara menyebelahi anda.”

Disiarkan pada: August 24, 2017 @ 12:28pm
d