arena

Kandungan bawa tuah

Oleh Ajitpal Singh

RAMAI atlit wanita memenangi kejuaraan utama ketika hamil.

Quzandria Nur Mahamad Fathil menyertai senarai terbabit pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila atlit negara berusia 35 tahun itu yang sedang hamil lima bulan merangkul pingat emas keduanya di temasya berkenaan dalam acara dressage individu dengan persembahan cemerlang kudanya, Rosenstolz di Pusat Ekuestrian 3Q, Rawang, hari ini.

Lebih manis dia menewaskan abangnya Qabil Ambak yang menunggang Walkuere buat pertama kali dalam tempoh 16 tahun penyertaannya di Sukan SEA.

Quzandria melakukan catatan 152.029 peratus dalam dua peringkat manakala Qabil, 37, yang memenangi gelaran ini pada 2001 (Kuala Lumpur), 2005 (Manila) dan 2007 (Korat) meraih tempat kedua dengan catatan 149.547 peratus.

Atlit Singapura Caroline Chew yang menunggang Tribiani merangkul gangsa dengan catatan 145.988 peratus.

Sebelum ini, Quzandria dan Qabil membawa Malaysia merangkul emas acara dressage berpasukan, Selasa lalu.

“Saya sedang hamil lima bulan. Saya berbincang dengan doktor terlebih dahulu sebelum membuat keputusan menyertai Sukan SEA.

“Ketika berlatih dan bertanding, saya memberitahu diri saya supaya jangan fikirkan soal mengandung kerana ia boleh menghalang saya daripada mencapai sasaran.

“Mungkin keadaan saya yang mengandung membawa tuah. Keadaan lebih mencabar hari ini tetapi kemenangan itu amat bermakna,” kata Quzandria.

Quzandria bersara 10 tahun lalu sebelum membuat kemunculan semula pada Sukan SEA kali ini.

Disiarkan pada: August 24, 2017 @ 6:30pm
d