arena

Tunai wasiat datuk

Oleh Mohd Fitrie Muhamad

‘AIR mata jantan’ mengalir di Arena Petanque, Pudu Ulu, apabila gandingan Saiful Bahri Musmin dan Syed Ahmad Fikri Syed Ali berjaya meraih emas melalui acara double, hari ini.

Skuad petanque negara memastikan emas kedua selepas pasangan negara itu mudah mengatasi pasangan Thailand, Piyabut Chamchoi dan Sunchai Chueanchuea 13-0.

Jika merungkap secara mendalam kejayaan dua pemain negara itu, tidak hairanlah mereka begitu beremosi ketika meraikan kejayaan emas kedua.

Saiful Bahri terpaksa menunggu 10 tahun untuk kilauan emas manakala Syed Ahmad Fikri puas berjaya menunaikan wasiat arwah datuknya yang meninggal dunia ketika dia berada di Singapura untuk Sukan SEA pada 2015.

“Dua tahun lalu, saya dapat perak dalam Triple dan pertukaran acara untuk saingan kali ini membuahkan hasil.

“Saya terima berita sedih itu (kematian datuk) pada malam sebelum turun beraksi di Singapura.

“Arwah datuk pernah beritahu mahu lihat saya menang emas dan hari ini ia tertunai,” kata Syed Ahmad Fikri.

Dua emas setakat ini nyata perkhabaran gembira buat skuad petanque, mengatasi pencapaian dua tahun lalu ketika di Singapura apabila hanya membawa pulang satu emas menerusi acara perseorangan.

Emas pertama petanque dimenangi menerusi acara perseorangan apabila Muhd Hafizuddin Mat Daud menewaskan pemain Thailand.

Bagi Saiful Bahri, kejayaan kali ini amat bermakna selepas berkali-kali gagal sebelum ini.

“Saya sudah cuba dalam pelbagai kategori untuk menang emas dan hari ini, berjaya,” katanya.

Disiarkan pada: August 24, 2017 @ 6:34pm
d