arena

Raja Pecut jadi penonton 4x100m

Oleh Aida Adilah Mat

HASRAT melihat kelibat Khairul Hafiz Jantan beraksi membantu kuartet 4x100 meter memburu emas, esok tidak kesampaian apabila Raja Pecut Asia Tenggara itu terpaksa direhatkan.

Pemegang rekod kebangsaan itu dilihat membalut kakinya ketika beraksi dalam acara akhir 200m menyaksikan dia menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat.

Jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa kuartet negara akan dibarisi Haikal Hanafi selaku pelari pertama diikuti Jonathan Nyepa, Badrul Hisyam Abdul Manap dan Nixson Kennedy sebagai pelari terakhir.

Bagaimanapun Poad menegaskan, keadaan Khairul tidak serius namun dia memerlukan rehat yang cukup untuk proses pemulihan.

“Khairul terpaksa direhatkan kerana mengalami kecederaan. Ketika ini dia sedang menjalani proses pemulihan.

“Dia masih muda dan masih banyak lagi masa untuknya jadi biar dia pulih terlebih dulu,” katanya.

Ditanya sama ada Khairul kecewa kerana tidak dapat membantu kuartet negara, Poad menjelaskan bahawa anak didiknya itu redha dengan keadaan berlaku.

Kelmarin Khairul dinobatkan Raja Pecut Asia Tenggara selepas muncul juara dalam acara riben biru itu.

Dia menewaskan juara bertahan Eric Cray dari Filipina.

Khairul mengalami kecederaan itu sejurus selepas melepasi garisan penamat apabila Cray melanggarnya sehingga menyebabkan dia terjatuh.

Malah jaguh pecut itu dilihat bergelut dengan kesakitan selepas menamatkan acara 200m.

Bagaimanapun Khairul menegaskan dia tidak mahu menjadikan kecederaan dialami sebagai punca tewas 200m kerana sudah memberikan yang terbaik namun rezeki tidak memihak kepadanya.

Disiarkan pada: August 24, 2017 @ 9:55pm
d