arena

Ronaldo Pemain Terbaik UEFA Musim 16-17

Oleh AFP

MONACO: Cristiano Ronaldo dinamakan sebagai Pemain Terbaik Musim 2016-17 UEFA awal pagi tadi selepas kempen yang menyaksikan bintang Portugal itu membantu Real Madrid merangkul kejuaraan berganda La Liga Sepanyol dan Liga Juara-Juara.

Ia kali ketiga Ronaldo memenangi anugerah itu yang disampaikan bersempena majlis undian peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

Musuh utamanya Lionel Messi menang dua kali dan kejayaan itu boleh membantunya dalam laluan memenangi gelaran Ballon d’Or kelima.

“Sasarannya sama setiap tahun, untuk berdepan cabaran sama, menang semuanya jika boleh, layak ke Piala Dunia bersama pasukan kebangsaan negara saya,” kata Ronaldo.

“Trofi ini memberikan saya motivasi untuk terus bekerja keras, tidak berputus asa. Saya gembira dan bangga untuk bersama Real Madrid.”

Ronaldo menang anugerah UEFA pada 2013-14 dan 2015-16 dan dalam kempen Liga Juara-Juara musim lalu, yang mana Real menewaskan Juventus 4-1 pada aksi final, dia muncul penjaring terbanyak dengan 12 gol.

Penjaga gol Juventus dan kapten Gianluigi Buffon menghuni tangga kedua dalam undian di depan Messi.

Disiarkan pada: August 25, 2017 @ 7:57am
d