arena

'Ibra-kadabra' kembali bersama United

Oleh AFP

LONDON: Zlatan Ibrahimovic kembali menyertai Manchester United dengan kontrak setahun selepas penampilan bintang Sweden itu bersama kelab Liga Perdana Inggeris terbatas kerana kecederaan lutut serius musim lalu.

Ibrahimovic terlepas minggu-minggu terakhir kempen United selepas mengalami kecederaan ligamen lutut pada aksi Liga Europa menentang Anderlecht, April lalu.

Namun pengurus United, Jose Mourinho terus berhubung dengan pemain berusia 35 tahun itu ketika dia menjalani pemulihan dan bekas penyerang Barcelona dan Paris Saint-Germain itu kini bersetuju kembali ke Old Trafford.

“Saya kembali untuk menamatkan apa yang saya mulakan. Memang menjadi hasrat saya dan kelab untuk kekal,” kata Ibrahimovic.

“Saya tidak sabar untuk kembali ke padang Old Trafford, tapi saya sedar perlu mengambil masa untuk benar-benar bersedia.

“Saya sudah bekerja keras dan akan terus berusaha untuk memastikan saya berada dalam keadaan terbaik sebelum kembali ke padang.”

Ibrahimovic menjaringkan 28 gol dalam 46 penampilan pada musim pertamanya bersama United, dengan sentuhan gol dan kemahiran kepimpinannya membantu anak buah Mourinho memenangi Piala Liga dan Liga Europa.

Pemain Sweden itu cedera ketika United menewaskan Ajax pada final Liga Europa di negara kelahirannya Stockholm dan kedua-dua pemain serta kelab itu bersetuju membiarkan kontraknya tamat pada hujung musim.

“Ada beberapa pasukan menghubungi, mahukan ‘Ibra-kadabra’ dalam pasukan mereka, tapi saya melalui tahun yang hebat bersama United. Pemain fantastik, kelab hebat,” ujar Ibrahimovic.

Ibrahimovic menang satu trofi setiap musim sejak 2001, termasuk 13 kejuaraan liga.

Disiarkan pada: August 25, 2017 @ 9:28am
d