arena

Harrif gagal pertahan emas acara lepas beramai-ramai

Oleh Farah Azharie

Kuala Lumpur: Walaupun kecewa kerana gagal mempertahankan emas acara lepas beramai-ramai, Mohd Harrif Saleh masih mampu tersenyum apabila rakan sepasukannya, Mohd Shahrul Mat Amin berjaya menamatkan saingan dengan pingat perak.

“Memang saya sedih kerana tidak berupaya mempertahankan pingat itu tetapi saya sudah mencuba yang terbaik, cuma nasib tidak menyebelahi.

“Tetapi hari ini (semalam), saya gembira apabila Shahrul berjaya membawa pulang perak,” katanya.

Shahrul menamatkan saingan dengan catatan 3:26:04.033s, ketinggalan 4.224s di belakang pemenang emas dari Thailand, Thanawut Sanikwathi.

Kejayaan yang dicapai Thailand itu mengesahkan apa yang dibimbangi Harrif ketika perlumbaan kerana negara Gajah Putih itu sentiasa mempunyai atlet yang mampu mencabar Malaysia.

“Mereka mempunyai ramai penunggang yang mampu melakukan pecutan baik dan mereka berjaya menghalang hasrat kita untuk menguasai perlumbaan.

“Mereka sedar bahawa kita adalah kuasa besar dalam sukan ini tetapi kelebihan adalah milik mereka.”

Atlet Vietnam, Mai Nguyen Hung menamatkan saingan di tempat ketiga manakala Anuar Manan gagal mempertahankan kedudukan itu apabila sekadar menamatkan saingan di tempat ke-33.

Selepas Shahrul, pelumba tempatan lain yang agak menyerlah ialah Nur Amirull Fakhruddin Mazuki yang menduduki tangga kelima diikuti Mohd Zamri Saleh di tangga ke-13.

Bagaimanapun, Harrif masih boleh berbangga apabila dia sekurang-kurangnya sudah memenangi emas di temasya edisi ke-29 selepas menjulang acara kriterium lelaki.

Disiarkan pada: August 25, 2017 @ 11:28am
d