arena

Harap mampu benam Leicester

Oleh AFP

MANCHESTER, England: Pengendali Manchester United, Jose Mourinho berharap dapat melengkapkan minggu cemerlang dalam dan luar padang dengan kemenangan ketiga berturut-turut apabila Leicester bertandang ke Old Trafford, malam esok.

United menang dua perlawanan pembukaan liga mereka, kedua-duanya dengan kemenangan 4-0 ke atas West Ham dan Swansea, ketika Mourinho mendapat rangsangan menyaksikan beberapa tonggak utamanya pulih daripada kecederaan.

Lebih-lebih lagi dengan kepulangan penyerang Sweden, Zlatan Ibrahimovic yang kembali menyertai mereka untuk tempoh setahun lagi dan dijangka akan mula beraksi menjelang akhir tahun selepas menjalani pembedahan lutut.

Pertahanan Luke Shaw dan Marcos Rojo juga mula mencapai tahap kecergasan terbaik selain pemain sayap Ashley Young.

Shaw dan Young, kedua-duanya mengharungi perlawanan skuad bawah 23 tahun minggu ini, dijangka akan bermula di bangku simpanan pada pertemuan dengan Leicester.

Ketika Ibrahimovic masih belum bersedia untuk beraksi dalam kesebelasan utama, Mourinho akan mempertaruhkan Romelu Lukaku, pemain yang dibeli untuk menggantikan Ibrahimovic yang meledak 28 gol musim lalu, untuk meneruskan prestasi cemerlangnya.

Pemain kebangsaan Belgium itu menjaringkan tiga gol dalam dua penampilan liga pertamanya bersama United, empat dalam tiga perlawanan termasuk Piala Super Eropah ketika tewas kepada Real Madrid.

Ibrahimovic percaya walaupun kehilangan kapten Wayne Rooney ketika jendela perpindahan musim panas ini, jentera serangan United jauh lebih mantap hasil gandingan Marcus Rashford dan Lukaku.

“Ya, saya gembira dia datang. Saya rasa pasukan ini lebih kuat musim ini, walaupun kami kehilangan Rooney, seorang legenda,” kata Ibrahimovic.

“Mengikat Lukaku menjadikan kami lebih kuat kerana dia mempunyai kualiti berbeza berbanding saya dan Rashford sebagai penyerang. Dia seorang yang kuat dan membawa kualiti tambahan dalam permainan.”

Disiarkan pada: August 25, 2017 @ 12:12pm
d