arena

Apa-apa pingat tetap bermakna

Oleh Farah Azharie

SKUAD hoki ais lelaki negara membuktikan sebarang pingat tanpa mengira warna amat bermakna kerana ia menunjukkan kerja keras, keazaman dan kebanggaan mereka dalam usaha merangkul pingat gangsa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, malam semalam.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pasukan itu sudah membuktikan kemampuan mereka ketika bersaing sengit dengan Singapura bagi merebut gangsa dalam perlawanan di Empire City, Damansara Perdana.

“Daripada segi perlawanan malam tadi, pasukan Malaysia membuktikan semua kemenangan adalah bermakna dan ia bukan sekadar pingat emas sahaja tetapi kita juga melihat persembahan dan semangat mereka.

“Kita hanya fokus kepada pingat emas dan kita lupa kejayaan atlet lain yang memenangi perak dan gangsa, begitu juga pengorbanan atlet yang tidak memenangi apa-apa,” katanya.

Khairy berkata, pencapaian atlet tidak seharusnya dihadkan kepada jenis pingat yang dimenangi kerana mereka sudah berkorban untuk membuatkan negara bangga.

Menurutnya, atlet paralimpik lompat jauh T20 negara Abdul Latif Romly antara contoh terbaik.

“Semalam Latif tidak memenangi sebarang pingat tetapi dia berjaya sebagai atlet paralimpik yang bertanding di Sukan SEA dan ini juga satu pencapaian,” katanya.

Dalam perlawanan semalam, Malaysia menundukkan Singapura 8-2.

Disiarkan pada: August 25, 2017 @ 12:44pm
d