arena

Tiada emas tanpamu ibu

Oleh Jumiati Rosly

TANPA pengorbanan arwah ibu, Mohammad Syamil Syazwan Ramli mengakui dia tidak akan dapat membantu menghadiahkan pingat emas triple negara pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Pernah satu ketika mahu mengalah daripada sukan boling padang kerana ingin bekerja, Syamil menyatakan arwah ibunya, Fauziah Rahim yang meninggal dunia tiga tahun lalu adalah individu yang mendorongnya untuk terus bergiat dalam sukan itu.

“Ketika itu, saya tidak kerja atau belajar. Arwah mak saya siap membelikan set bola yang harganya dalam RM2,000 dan malah berhutang membayar ansuran untuk itu,” katanya yang kini memegang jawatan sebagai Lans Koperal bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Syamil berkata, dia mula menyertai sukan boling padang pada 2007 dan hanya menyertai skuad pelapis empat tahun kemudian.

Syamil yang juga skipper bergandingan dengan Mohd Amir Mohammed Yusof dan Mohamad Fairus Abd Jabal beraksi cemerlang mengalahkan Brunei (Ampuan Ahad Ampuan Kasim, Pengiran Tengah Pengiran Tejudin dan Naim Ibrahim) 19-9.

Bagi Fairus, kejayaan hari ini adalah pingat emas keduanya apabila memenangi emas acara double ketika kali terakhir boling padang dipertandingkan pada 2007.

“Walaupun acara berbeza, bagi saya ini adalah kejayaan berturut-turut buat saya,” katanya yang menujukan kejayaan itu kepada seluruh rakyat Malaysia.

Pingat gangsa pula dimenangi Thailand apabila menewaskan Filipina 20-13.

Disiarkan pada: August 25, 2017 @ 2:31pm
d