arena

Sebelah kaki dah emas

Oleh Syafiq Aznan

SKUAD hoki dalam dewan lelaki negara berhasrat mencipta sejarah baru dengan muncul selaku pemenang sulung acara itu yang dipertandingkan buat kali pertama pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Kaptennya Mohd Najib Abu Hassan mengakui genggaman emas untuk acara terbabit sudah pasti akan memberikan satu kenangan yang manis buat skuad hoki dalam dewan lelaki tambahan pula mencipta kemenangan itu di laman sendiri.

“Saya gembira kerana kita berjaya mengekalkan rekod cemerlang memenangi semua lima perlawanan dan ini akan menjadi motivasi yang terbaik menjelang aksi final esok.

“Kita juga sudah separuh kaki untuk meraih emas dan hanya tinggal Indonesia sahaja yang menjadi penghalang.

“Saya mengharapkan rakan sepasukan dapat berjuang habis-habisan untuk merangkul pingat emas sekali gus membantu sasaran meraih 111 pingat emas buat kontinjen negara,” katanya.

Skuad bimbingan Amin Rahim itu nyata tiada tandingan apabila mencatat 45 gol dan hanya dibolosi dua gol hasil kemenangan 16-0 ke atas Filipina, Vietnam (15-0), Thailand (4-0), Indonesia (6-2) dan Singapura (4-0).

Mengulas lanjut aksi bertemu Indonesia, pemain berusia 22 tahun itu memberi amaran kepada rakan sepasukannya agar tidak memandang rendah keupayaan lawan kerana aksi final sering menjanjikan kejutan.

“Indonesia adalah satu-satunya pasukan yang membolosi gawang kita sepanjang saingan di peringkat kumpulan, jadi saya yakin mereka akan tampil lebih bersedia untuk aksi final nanti.

“Walaupun kami memiliki sedikit kelebihan psikologi kerana pernah menewaskan mereka sebelum ini tetapi kita tetap perlu berwaspada. Sikap terlalu yakin dikhuatiri akan memakan diri,” katanya.

Malaysia akan bertemu Indonesia pada aksi penentuan pingat emas di Dewan 4, Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia pada jam 6 petang esok.

Disiarkan pada: August 25, 2017 @ 4:21pm
d