arena

Gangsa pengubat duka

Oleh Syafiq Aznan

SKUAD hoki dalam dewan wanita negara meraih pingat gangsa selepas membenam Singapura 3-1 pada aksi penentuan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia, hari ini.

Meskipun sudah membelasah lawan sama 6-0 pada aksi terakhir peringkat kumpulan semalam, namun anak buah K Gobinathan tetap memperagakan persembahan terbaik terutamanya selepas gangsa menjadi taruhan.

Seperti dijangka, Singapura tampil dengan persembahan lebih bertenaga pada aksi penentuan hari ini apabila banyak menyekat ruang pemain negara yang menyaksikan gol pertama hanya terhasil menerusi pukulan penalti disempurnakan Nuraisyah Yaacob pada minit ketiga.

Noorain Mohd melebarkan jurang buat skuad negara menerusi gol padang pada minit ke-19 sebelum pemain Singapura Sabrina Gofar mengurangkan defisit pada minit ke-14.

Namun jaringan Qasidah Halimi pada minit ke-20 memastikan Malaysia terus selesa 3-1 untuk menuju ke masa rehat dengan kelebihan dua gol.

Babak kedua menyaksikan Malaysia terus menguasai permainan namun gagal menambah jaringan tambahan dan kedudukan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan untuk pingat gangsa menjadi milik Malaysia.

Disiarkan pada: August 25, 2017 @ 5:46pm
d