arena

Bertuah beli Bernardo awal

Oleh AFP

MANCHESTER, England: Pep Guardiola menyatakan beliau bertuah kerana membeli Bernardo Silva dan menganggap pemain itu bernilai lebih mahal jika dibeli sekarang.

Bernardo, perancang tengah yang diikat dari AS Monaco dengan harga £43 juta (RM237 juta), mempamerkan aksi memberangsangkan dalam dua penampilan sebagai pemain gantian setakat ini.

Guardiola berbelanja lebih besar berbanding mana-mana pengurus Liga Perdana ketika jendela perpindahan pemain musim panas ini dengan keseluruhan sekitar £220 juta (RM1.2 bilion).

Lebih daripada £120 juta (RM661 juta) dibelanjakan untuk membeli pemain pertahanan dengan Benjamin Mendy bernilai £52 juta (RM286 juta) dari Monaco, Kyle Walker £50 juta (RM275 juta) dari Tottenham dan Danilo £26.5 juta (RM146 juta) dari Real Madrid.

Bagaimanapun Guardiola yakin beliau melakukan urusan yang bagus.

“Setiap orang yang membuat urusan ini suka jika ia berakhir dalam masa dua minit. Tapi kadang-kadang kelab terpaksa mengambil masa, mereka merancang strategi untuk membuat lebih banyak wang dan ia biasa.

“Pada saat itu kami memutuskan untuk melakukannya, jadi saya fikir Bernardo akan lebih mahal ketika ini. Mungkin bukan hanya Bernardo, mungkin Kyle, mungkin Mendy atau pemain lain akan lebih mahal sekarang.

“Ia terlalu sukar dalam pasaran perpindahan sekarang tapi sebelum ini pun sukar. Anda perlu berbelanja lebih banyak wang untuk membeli pemain sekarang - bukan hanya Manchester City, semua kelab.

“Saya fikir ada banyak kelab dengan pemain yang tidak beraksi dan mereka mencari jalan terbaik meneruskan karier.”

Disiarkan pada: August 26, 2017 @ 10:18am
d