arena

Penyokong Agus curi tumpuan

Oleh BERNAMA

GELAGAT sekelompok kecil penyokong Malaysia yang memberi sokongan kepada atlet Indonesia, Agus Prayogo sewaktu acara olahraga Sukan SEA ke-29 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi ternyata mencuri perhatian penonton.

Mereka dilihat tidak putus-putus memberi semangat kepada Agus yang memenangi pingat emas acara 10,000m sejak dia memulakan larian malah ada yang membawa sepanduk yang tertera nama ‘Agus’.

Tiada wakil Malaysia yang beraksi dalam acara itu.

Menurut seorang penyokong, Arrina Mohd, 37, mereka adalah komuniti pelari maraton yang hadir bagi memberi sokongan kepada Agus yang dianggap idola mereka dalam acara itu.

Katanya, kira-kira 30 penyokong yang menjadi sebahagian daripada komuniti maraton di Malaysia merangkumi ‘Kyserun krew’ my365 runners’, Pacemaker Malaysia, Extra Fit dan Volt Runner hadir menyaksikan idola mereka itu beraksi malam tadi.

“Maraton adalah minat kami dan sangat mengagumi Agus Prayogo kerana dia antara pelari yang mempunyai larian unik di rantau ini,” kata eksekutif syarikat swasta itu.

Ditanya bagaimana beliau mengenali Agus, Arinna mula membina tali persahabatan bersama Agus sejak menyertai kejohanan Maraton Bali beberapa tahun lalu.

Agus memenangi emas dengan catatan masa 30 minit 22.26 saat diikuti pelari Vietnam, Nguyen Van Lai yang meraih perak (30:45.64s) manakala Sanchai Namkhet dari Thailand merangkul gangsa (30:54.86s).

Disiarkan pada: August 26, 2017 @ 11:18am
d