arena

Lin Dan di laluan juara

Oleh AFP

GLASGOW: Lin Dan kekal bersaing bagi merebut kejuaraan keenam perseorangan lelaki pada Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow dengan kemenangan dua set terus pada suku akhir ke atas Vincent Wong dari Hong Kong, awal pagi tadi.

Namun mahkota kejuaraan milik Carolina Marin berakhir secara mengejut berikutan kekalahan 19-21, 21-14, 15-21 di tangan pemain Jepun, Nozomi Okuhara.

Carolina, juara 2014 dan 2015 serta pemenang pingat emas Olimpik tahun lalu, melepasi dua aksi mudah sebelum ini namun akhirnya bertemu buku dengan ruas menentang pilihan ketujuh itu.

“Saya terlalu gembira tapi juga terlalu letih,” kata Nozomi. “Carolina seorang pemain yang amat pantas. Pada permulaan set ketiga dan mata sukar pada perlawanan itu saya menyatakan kepada diri sendiri ‘saya boleh lakukan, saya boleh!’ Kini saya mahu pingat emas.”

Lin Dan, 33, tidak menang kejuaraan sejak 2013 namun dia terjamin sekurang-kurangnya meraih pingat gangsa selepas menang 21-17, 21-18.

Selepas dua perlawanan berlangsung dalam tiga set, pemain veteran itu lega menamatkan aksinya dalam tempoh sejam. “Saya seronok dengan perlawanan hari ini,” katanya.

“Saya gembira kerana berjaya mengekang persembahan lawan saya. Bagus melakukannya dengan pantas hari ini dan saya menjangkakan kembali ke tahap 100 peratus esok.”

Pada separuh akhir, dia bertembung dengan pemain nombor satu dunia Son Wan Ho dari Korea Selatan. Lin Dan muncul naib juara pada 2005 kemudian memenangi gelaran itu pada 2006, 2007, 2009, 2011 dan 2013.

Bagi Wan Ho, prospek meraih kejuaraan utama sulung mengujakannya. Dia menang ke atas Kidambi Srikanth dari India 21-14, 21-18.

Disiarkan pada: August 26, 2017 @ 11:55am
d