arena

Syukur raih perak

Oleh Fardy Bungga

Pasukan seni silat regu artistik lelaki membuka gelanggang silat hari ini dengan menghadiahkan pingat perak kepada kontinjen negara.

Pasukan yang dibarisi Mohd Faiz Abd Malek, Muhammad Syafiq Ibrahim dan Sazzlan Yuga pada mulanya berjaya mempamerkan aksi mengagumkan para juri namun selepas melakukan beberapa kesilapan, pasukan negara hanya mampu mencatatkan 445 mata.

Acara itu dimenangi oleh pasukan Indonesia yang berjaya mengutip 466 mata manakala tempat ketiga dimenangi pasukan Singapura dengan catatan 442 mata.

Pesilat negara Mohd Faiz Abd Malek berkata, mereka menerima keputusan itu dan bersyukur kerana mampu menghadiahkan pingat kepada negara.

Katanya, kejayaan meraih perak ini adalah hasil pengorbanan mereka selepas hampir dua tahun melakukan persiapan bersama-sama termasuk terpaksa menyambut Aidilfitri di Vietnam untuk menjalani latihan selama beberapa bulan.

“Kemenangan ini menambahkan lagi semangat dan sekiranya diberi peluang, kami mahu beraksi di Sukan SEA akan datang untuk meraih pencapaian yang lebih baik,” katanya.

Disiarkan pada: August 26, 2017 @ 1:20pm
d