arena

Mohoric menangi peringkat ketujuh

Oleh AFP

CUENCA, Sepanyol: Keberanian pelumba Slovenia, Matej Mohoric menyerang pada saat akhir membantunya memenangi peringkat ketujuh Vuelta a Espana semalam ketika Chris Froome selesa mengekalkan jersi merah sebagai pendahulu.

Mohoric memecut laju membuat pemecahan daripada kelompok besar 14 pelumba untuk mengungguli pendakian akhir laluan 207km antara Lliria dan Cuenca, mengekalkan pendahuluannya hingga ke penamat.

“Ia menakjubkan! Sudah terlalu lama sejak kemenangan besar terakhir saya. Saya sering bekerja keras dan mencuba yang terbaik, tapi hebat rasanya untuk meraih kemenangan sekali lagi,” kata Mohoric yang berusia 22 tahun.

Penunggang dari Slovenia itu menyerang ketika mendaki Alto del Castillo 11km sebelum tamat dan melepasi garisan penamat 16 saat di depan kelompok pengejar.

Pelumba Poland, Pawel Poljanski berakhir di tangga kedua buat hari kedua berturut-turut selepas menamatkan perlumbaan di belakang rakan senegara Tomasz Marczynski, kelmarin. Pelumba Sepanyol, Jose Joaquin Rojas di tangga ketiga.

“Saya cuba menyimpan tenaga sebaik mungkin dan kemudian menanti hingga ke final untuk menyerang,” jelas Mohoric.

Juara Tour de France empat kali, Froome, yang membida untuk muncul pelumba ketiga melengkapkan kejuaraan berganda Tour-Vuelta pada tahun sama, kekal 11 saat di depan pelumba Colombia, Esteban Chaves dengan Nicolas Roche dari Ireland 13 saat di belakang.

Disiarkan pada: August 26, 2017 @ 1:51pm
d