arena

Tarik diri akibat demam panas

Oleh Haika Khazi

KETUA jurulatih negara Hanifah Yoong mengesahkan atlet ski air cilik negara, Aiden Yoong Hanifah terpaksa menarik diri daripada acara overall luncur air, hari ini, selepas mengalami demam panas.

Hanifah berkata, beliau terpaksa merehatkan anak lelakinya itu kerana mengalami demam yang tinggi malam tadi.

Beliau berkata, keadaan Aiden kini semakin stabil dan pulih biarpun masih kurang selera makan.

"Aiden terpaksa menarik diri kerana demamnya tinggi malam tadi. Kita bimbang kalau dia terus bertanding ia akan menjejaskan keselamatannya yang baru berusia 11 tahun.

"Dia memang boleh bertanding tetapi tiada guna juga jika tiada peningkatan daripada segi prestasi dan pencapaiannya di Sukan SEA.

"Biarpun Aiden sudah beraksi semalam dan memungut mata dalam acara itu namun kita tidak benarkan dia bertanding atas faktor kesihatan dan keselamatan dirinya," katanya ketika ditemui di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Hanifah berkata, beliau berharap Aiden dapat berehat dua hari ini dan pulih sepenuhnya bagi menyertai acara trick individu pada 28 dan 29 Ogos nanti.

"Saya harap semua atlet lelaki dan wanita Malaysia bersiap sedia untuk cuba memenangi enam emas ditawarkan pada 28 dan 29 Ogos ini," katanya.

Disiarkan pada: August 26, 2017 @ 3:06pm
d