arena

Tak sabar nak 'wheelie'

Oleh Azlan Muhammad Zain

JAGUH keirin dunia Azizulhasni Awang tidak sabar untuk mempersembahkan aksi ‘wheelie’ di hadapan penyokong sendiri apabila acara basikal trek memulakan saingan di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, Isnin ini.

Azizulhasni yang bakal beraksi dalam acara pecut individu (Isnin) dan keirin (Selasa) berkata, dia dan rakan sepasukannya sudah bersedia untuk membantu kontinjen Malaysia muncul juara keseluruhan apabila 13 emas menjadi rebutan bagi acara trek.

“Saya memang teruja kerana difahamkan tiket sudah habis. Sambutan sangat hangat seperti pisang goreng panas. Jika berkesempatan, saya akan menghadiahkan aksi wheelie di garisan penamat nanti,” katanya selepas sesi latihan rasmi Malaysia, hari ini.

Aksi wheelie sentiasa menjadi amalan The Pocketrocketman apabila bersaing di pentas antarabangsa.

“Sebagai pelumba paling senior, saya berharap semua atlet negara dapat pulang dengan emas. Saya harap kita mampu raih semua 13 emas yang dipertandingkan.

“Namun 11 emas hampir pasti dengan acara omnium wanita dan scratch lelaki dikatakan jurulatih mempunyai peluang seimbang,” katanya.

Bagaimanapun pemenang gangsa Olimpik Rio berkenaan mengingatkan mereka tidak boleh terlalu yakin kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam saingan berbasikal seperti kerosakan dan sebagainya.

“Semua perlu fokus sama seperti pada perlumbaan antarabangsa yang lain. Saya mendapat khabar pasukan lain turut melakukan persiapan yang agak baik seperti Thailand ke Beijing dan Guangzhou manakala Singapura berlatih di Amerika Syarikat selain Indonesia yang turut perlu diawasi.

“Kita perlu menghormati lawan dan tidak boleh terlampau yakin,” katanya.

Aksi Sukan SEA 2017 di Velodrom Nasional Malaysia akan menjadi penampilan terakhirnya di temasya dwitahunan itu kerana mahu memberikan peluang kepada pelumba muda.

“Sepatutnya aksi di Sukan SEA 2007 adalah yang terakhir bagi saya namun disebabkan temasya berlangsung di tempat sendiri kali ini, saya mahu beraksi. Namun selepas ini biarlah peluang diberikan kepada pelumba muda,” tambahnya.

Disiarkan pada: August 26, 2017 @ 4:11pm
d