arena

Trio gimnas bukti skuad kita terbaik

Oleh Naqib Nor Said

SKUAD gimrama negara membuktikan mereka yang terbaik di Asia Tenggara apabila membuka kempen Sukan SEA kali ini dengan penuh bergaya, meraih emas berpasukan wanita di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Malaysia muncul juara selepas trio gimnas - Koi Sie Yan, Izzah Amzan dan Amy Kwan Dict Weng - memikat juri dengan pergerakan kemas dan menarik untuk mengumpul 153.10 mata, jauh mengatasi Thailand 122.55 mata.

Pingat gangsa dimenangi juara bertahan Singapura yang mengumpul 116.30 mata dalam acara membabitkan empat disiplin iaitu riben, tali, belantan dan bola.

Pada penyertaan di Sukan SEA 2015 di Singapura, skuad gimrama negara sekadar meraih perak di belakang gimnas tuan rumah yang memenangi emas.

Kejayaan hari ini menamatkan penantian 10 tahun negara selepas kali terakhir menjuarai acara berpasukan wanita pada 2007 di Korat, Thailand.

Kontinjen gimnastik negara mensasarkan 10 pingat emas selepas lima emas sudah disumbangkan skuad gimnastik artistik sebelum ini, dan kini hanya perlu menang tiga lagi emas daripada baki tujuh acara yang akan dipertandingkan esok serta Isnin.

Disiarkan pada: August 26, 2017 @ 6:11pm
d