arena

Annuar sedia jadi Presiden KAFA sekali lagi

Oleh Muhamaad Razis Ismail

BEKAS Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa sedia kembali mengisi jawatan nombor satu persatuan itu sekiranya tiada individu tampil menawarkan diri pada Kongres Agung Tahunan kali ke-43 KAFA September depan.

Annuar berkata, keputusan itu dibuat kerana tidak mahu prestasi pasukan Kelantan terjejas pada musim akan datang.

"Jika perkara itu berlaku (tiada calon) saya sedia duduk bersama exco KAFA berbincang berkaitan masalah itu.

"Bagaimanapun, saya harap perkara itu tidak berlaku kerana saya mahu memberi peluang kepada individu yang berkemampuan membina kembali pasukan Kelantan.

"Saya sedia berikan bantuan kepada sesiapa saja yang bakal menjadi Presiden kerana bola sepak adalah sebahagian tanggungjawab saya kepada rakyat," katanya dalam sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Harian Metro pada 9 November 2016 melaporkan, Annuar meletak jawatan selaku pemimpin nombor satu badan induk bola sepak negeri itu berkuat kuasa serta-merta.

Sejak daripada hari itu kerusi presiden dipangku oleh Timbalan Presiden KAFA Datuk Seri Afandi Hamzah.

Sebelum ini, Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor membuat tawaran terbuka kepada mana-mana individu untuk memimpin KAFA pada kongres ,September ini.

Setakat ini hanya Presiden Kumpulan SecretLeaf International Sdn Bhd, Amir Ramadzan menawar diri bagi memegang tampuk kepimpinan baharu KAFA tanpa sebarang syarat.

Disiarkan pada: August 26, 2017 @ 7:04pm
d