arena

Emas Nauraj, Rayzam ceriakan hari terakhir olahraga

Oleh Aida Adilah Mat dan Mohd Khairie Khalid

MALAYSIA menutup hari terakhir olahraga Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dengan memenangi dua pingat emas yang disumbangkan Nauraj Singh Randhawa dalam acara lompat tinggi lelaki dan Rayzam Shah Wan Sofian selaku raja pecut 110m lari berhalangan.

Nauraj memenangi emas dengan ketinggian lompatan 2.24m sekali gus mempertahankan gelaran juara dimenanginya di Sukan SEA Singapura 2015 manakala Rayzam dengan catatan masa 13.83s, menamatkan penantian 10 tahun untuk kembali menjuarai acara itu selepas kali terakhir pada 2007 di Thailand.

Di sebalik dua emas, skuad olahraga negara unggul dengan pencapaian pingat perak menerusi Raja Nursheena Raja Azhar dalam acara 100m lari berpagar yang juga memperbaiki keputusan peribadi selepas sekadar gangsa di Myanmar pada 2013.

Pingat perak turut disumbangkan altet lompat tinggi senior negara, Lee Hup Wei dengan ketinggian menyamai Nuaraj (2.24m), lempar cakera wanita yang memperbaharui rekod kebangsaan menerusi Choo Kang Ni dengan balingan (47.91m). Rekod lama ialah 46.84m milik Yap Jeng Tzan.

Turut membuat kejutan dengan pingat perak ialah K Prabudass (5,000m) dan satu gangsa oleh kuaret 4x400 wanita negara.

Secara keseluruhan, skuad olahraga menyumbangkan lapan pingat emas, lapan perak dan sembilan gangsa, memperbaharui pencapaian dua tahun lalu yang hanya tiga emas, dua perak dan sembilan gangsa.

Disiarkan pada: August 26, 2017 @ 10:05pm
d