arena

Indonesia tersilap saat akhir

Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor dan Aziman Rosdi

JURULATIH Indonesia Luis Milla Aspas mengakui kesilapan pada saat akhir menjadi punca kekalahan 0-1 pasukannya kepada Malaysia, malam tadi.

Sambil mengakui Malaysia sangat berbahaya ketika situasi bola mati, Aspas bagaimanapun tetap memuji persembahan barisan pemainnya yang berjuang hingga minit terakhir.

"Bagi saya, perlawanan malam ini 50-50, siapa yang memanfaatkan peluang mereka akan menang.

"Kami melakukan sedikit kesilapan pada saat akhir dan Malaysia memanfaatkan peluang itu, jadi mereka berhak menang.

"Sebelum jaringan dihasilkan Malaysia, kami memiliki beberapa peluang untuk menjaringkan gol, tetapi gagal.

“Namun saya tetap berpuas hati dengan permainan pemain saya," katanya selepas perlawanan.

N Thanabalan muncul wira Malaysia apabila jaringannya pada minit ke-87 membawa skuad negara ke final untuk berdepan Thailand, Selasa ini.

Pertemuan itu sekali gus dilihat sebagai ulangan final pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2001 yang menyaksikan Thailand menang 1-0.

"Kami tetap mahu membawa pulang pingat dan fokus selepas ini sudah pasti perebutan pingat gangsa berdepan Myanmar,” kata Aspas.

Disiarkan pada: August 26, 2017 @ 11:57pm
d