arena

Mourinho puji aksi United

Oleh AFP

MANCHESTER, England: Jose Mourinho memuji ketabahan Manchester United ketika gol babak kedua menerusi Marcus Rashford dan Marouane Fellaini membantu mereka menundukkan Leicester City yang lebih banyak bertahan 2-0.

United mendominasi dalam tempoh yang panjang di Old Trafford awal pagi tadi, namun berdepan bahaya hilang permulaan bersih 100 peratus dalam Liga Perdana Inggeris selepas sepakan penalti Romelu Lukaku diselamatkan Kasper Schmeichel.

Anak buah Mourinho terus mengasak dan Rashford, yang dibawa masuk sebagai pemain gantian beberapa minit terdahulu, akhirnya memberikan United gol pendahuluan apabila dia merembat masuk 20 minit sebelum tamat.

Fellaini, yang turut hadir dari bangku simpanan, memastikan kemenangan ketiga berturut-turut United lapan minit sebelum tamat sekali gus menyebabkan Mourinho bangga dengan sikap mereka yang tidak berputus asa.

“Saya fikir kami bermain amat bagus. Benteng pasukan biru amat tersusun dan saya selalu memuji mereka. Mereka bertahan dengan baik,” kata Mourinho.

“Kami terlepas sepakan penalti tapi selepas itu saya menyaksikan pasukan bermain dengan keyakinan. Kami berhak menang.

“Selepas gol itu saya perlu menyatakan kami amat bagus. Jika saya perlu memilih satu perkataan menggambarkan pasukan saya, saya akan katakan mantap.”

Mourinho enggan menerima pujian terhadap penggantian pemain yang mengubah perlawanan itu dan lebih suka memuji pemainnya.

“Ia bukannya saya. Jika saya tidak memiliki mereka di bangku simpanan saya tidak boleh melakukan pertukaran pemain yang berjaya,” katanya.

“Pemain amat bagus dan bermotivasi. Mereka bekerja keras, menanti peluang dan berjaya memecah benteng.”

Permulaan gemilang United - 10 gol dijaringkan dan tidak dibolosi sebarang gol - menyebabkan sesetengah pihak menganggap pasukan pendahulu itu sebagai pilihan juara.

Disiarkan pada: August 27, 2017 @ 7:39am
d