arena

Lewandowski julang Bayern

Oleh AFP

BERLIN: Dua gol pantas lewat perlawanan oleh Robert Lewandowski membantu juara bertahan Bundesliga, Bayern Munich merakam kemenangan kedua berturut-turut selepas mengatasi Werder Bremen 2-0 di laman lawan, semalam.

Kemenangan terakhir Bremen ke atas Bayern adalah pada 2006 namun tuan rumah berjaya mengekang pasukan lawan dipenuhi pemain bintang itu hingga minit ke-72 apabila Lewandowski meledak gol pertama.

Bintang Poland itu dengan berani menolak masuk umpanan leret Kingsley Coman dengan tumitnya sebelum menggandakan kedudukan dengan merembat menerusi celah kelangkang pertahanan Robert Bauer dan penjaga gol Bremen, Jiri Pavlenka pada minit ke-75.

Larian mengelirukan Thomas Mueller membuka ruang buat Lewandowski di benteng Bremen, yang menggunakan peluang untuk menyumbat gol ketiga dalam dua aksi liga.

“Dia jelas penyerang terbaik dalam Bundesliga dan seorang daripada yang terbaik di dunia,” kata pengarah sukan Bayern, Hasan Salihamidzic.

Lewandowski berkata: “Werder bermain secara bertahan sekali gus tidak memudahkan tugas dan tidak banyak ruang buat kami. Kami terpaksa bersabar dan menggunakan peluang.”

Ada lebih banyak berita gembira buat Bayern apabila penjaga gol Jerman, Manuel Neuer melakukan penampilan pertamanya musim ini selepas patah kaki.

Pierre-Emerick Aubameyang meledak gol ketika Borussia Dortmund menang 2-0 di laman sendiri ke atas Hertha Berlin untuk meneruskan persaingannya dengan Lewandowski bagi memburu gelaran penjaring terbanyak Bundesliga.

Aubameyang menyumbat gol selepas hanya 15 minit hasil hantaran lintang Nuri Sahin sebelum pemain tengah Turki itu meraih gol kedua Dortmund.

Penyerang Gabon, Aubameyang kini sudah menjaringkan gol dalam lapan perlawanan terakhir dalam semua pertandingan sejak hujung musim lalu.

Kemenangan di gelanggang sendiri itu membolehkan Dortmund menghuni tangga teratas secara perbezaan gol di depan Bayern.

Disiarkan pada: August 27, 2017 @ 10:12am
d