arena

Spieth terus aksi cemerlang

Oleh AFP

NEW YORK: Juara Terbuka British, Jordan Spieth sekali lagi menyerlah dalam sembilan lubang terakhir untuk mendahului tiga pukulan di depan pemain nombor satu Dustin Johnson pada kejohanan Northern Trust, awal pagi tadi.

Spieth membenam empat daripada lapan birdie dalam sembilan lubang kedua - termasuk tiga berturut-turut dari lubang ke-14 hingga ke-16 - untuk merakam enam bawah par 64 bagi catatan 12 bawah par 198 keseluruhan.

Kelebihannya patut lebih satu pukulan lagi jika tidak kerana birdie Johnson pada lubang ke-18, yang mana pukulan keduanya singgah empat kaki dari pin untuk mencatat 67 bagi 201.

Pemain England, Paul Casey (66), pemain Sepanyol, Jon Rahm (67) dan dua pemain AS, Patrick Reed (66) serta Matt Kuchar (68) berada dua pukulan lagi di belakang.

Catatan enam bawah par Spieth menyamai pusingan terbaik pada kejohanan itu di Glen Oaks Club di Old Westbury, New York.

“Pukulan drive saya tidak sebagus dua hari pertama dan saya amat memerlukannya esok untuk memudahkan permainan saya,” kata pemain berusia 24 tahun dari Texas itu.

“Saya terselamat sesudah terlepas beberapa fairway dalam sembilan lubang pertama dengan tolakan putt yang bagus.”

Sekalipun Johnson mengejarnya, Spieth berada di kedudukan selesa. Dia tidak pernah tewas dalam Jelajah PGA ketika mendahului dua atau lebih pukulan menjelang pusingan akhir.

“Lebih mudah menang di kedudukan itu,” kata Spieth, sekalipun dia mengakui tidak selalunya semua berjalan lancar.

Spieth mendahului tiga pukulan menjelang pusingan akhir Terbuka British di Royal Birkdale tahun ini sebelum muncul juara.

Disiarkan pada: August 27, 2017 @ 11:46am
d